KIA2M
KIA2M ialah program pemulihan awal untuk menangani masalah penguasaan kemahiran membaca dan menulis dalam kalangan pelajar-pelajar tahun 1. Secara konsepnya,program ini melibatkan semua sekolah, namun sekolah-sekolah jenis kebangsaan diberi pilihan sama ada untuk terlibat atau sebaliknya.Semua murid tahun 1 akan menduduki Ujian Penapisan KIA2M, murid yang gagal melepasi Ujian Penapisan akan mengikuti program KIA2M. P&P KIA2M dijalankan dalam waktu P&P Bahasa Melayu. Di samping itu, kemahiran KIA2M ini juga diajar secara penyerapan dalam waktu P&P Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. P&P KIA2M hanya melibatkan guru yang terlatih sahaja. Guru pemulihan amat digalakkan membantu guru KIA2M terutama dalam aspek P&P seperti pedagogi dan penyediaan bahan
LINUS
Akronim kepada perkataan LI (Literasi), NU (Numerasi) dan S (Screening – Saringan). Jadi maknanya Program Saringan Literasi dan Numerasi.
Program ini dirancang dan dibentuk sebagai penambahbaikan program sedia ada (KIA2M), memastikan semua murid Tahun 1 pada 2010 menguasai asas membaca, menulis dan mengira pada akhir tahun 3 menjelang Tahun 2011.
DEFINISI LITERASI
Keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan dan ayat serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran dan komunikasi harian.
KEMAHIRAN ASAS LITERASI
TAHUN 1 – Boleh membaca, menulis dan memahami minima 500 patah perkataan dan ayat mudah.
TAHUN 2 – Boleh membaca, menulis dan memahami minima 800 patah perkataan dan ayat mudah menggunakan kata sendi.
TAHUN 3 – Boleh membaca, menulis dan memahami minima 1000 patah perkataan dan ayat mudah dengan kata sendi dalam satu perenggan.
DEFINISI NUMERASI
Keupayaan untuk melakukan operasi asas matematik dan memahami idea matematik yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam kehidupan harian.
KEMAHIRAN ASAS NUMERASI
TAHUN 1
- Kemahiran : Membaca, menulis dan mengira mengikut turutan nombor hingga 50.
- Operasi asas : Faham fakta asas tambah dan tolak
- Aplikasi : Mengira wang hingga RM 10, memahami masa dan ukuran asas
TAHUN 2
- Kemahiran : Membaca, menulis dan mengira turutan nombor hingga 100
- Operasi asas : Faham fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi
-Aplikasi : Mengira wang hingga RM 50, memahami waktu dalam jam dan mengukur panjang/pendek objek
TAHUN 3
- Kemahiran : Membaca, menulis dan mengira mengikut turutan nombor hingga 1000.
- Operasi asas : Faham fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi
- Aplikasi : Mengira wang hingga RM 100, memahami waktu dalam jam dan minit serta mengukur objek dalam unit piawai
Pemulihan VS PROTIM
Banyak takrifan mengenai definisi Pemulihan oleh pakar-pakar dalam dunia pendidikan. Namun, hakikatnya ia masih membawa maksud yang sama iaitu aktiviti alternatif yang dijalankan apabila didapati seseorang murid gagal mempelajari sesuatu kemahiran selepas mengikuti aktiviti pembelajaran dalam kelas biasa. Program PEMULIHAN ini adalah sebagai ganti aktiviti pembelajaran dalam kelas biasa di Kelas Pemulihan untuk membantu murid menguasai kemahiran berkenaan.
Justeru, definisi di atas amatlah jelas bahawa bukan sahaja dari segi siapa sasaran untuk pengajaran Pemulihan tetapi juga dari segi fungsi dan tujuannya.
Ia sebenarnya dikhususkan kepada murid yang mengalami kesulitan dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira amnya, tiga kemahiran asas yang menjadi fokus dalam KBSR.
Objektif pengajaran Pemulihan pula adalah seperti berikut :
- membantu murid mengatasi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu
- mengubah sikap murid yang negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran
- memupuk serta mengembangkan sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.
Program Pemulihan pula dilaksanakan setelah murid dicalonkan, melalui ujian saringan dan diagnostik. Biasanya murid yang terlibat adalah tahun 2 dan 3. Namun demikian, untuk murid tahun 4 dan 5, bergantung kepada budi bicara guru Pemulihan dan rundingan dengan semua pihak dalam organisasi.
PROTIM pula adalah sebahagian daripada sejarah hidup Program PEMULIHAN. PROTIM mempunyai maksud dan tujuan yang sama dengan PEMULIHAN.
PROTIM dilaksanakan di sekolah bagi murid yang juga menghadapi masalah 2M dalam kategori aras rendah. Sasaran program PROTIM ini adalah untuk murid tahun 4, 5 dan 6 pada mulanya. Di bawah modul yang sama, murid dikehendaki menjalani satu ujian ‘tapisan’. Murid yang gagal mencapai sekurang-kurangnya 90 daripada 100 markah akan terlibat dalam program PROTIM ini.
Aras modul dalam program PROTIM ini sedikit berbeza dengan aras modul dalam program PEMULIHAN. Ini kerana modul PROTIM melibatkan penguasaan sistem bahasa. Gambar masih menjadi pilihan utama dalam modul ini untuk membantu pemahaman murid. Berbanding program PEMULIHAN, program PROTIM mahukan murid menyelesaikan banyak latih tubi dalam satu-satu masa yang ditetapkan.
Aras soalannya sederhana sukar kerana kebanyakan murid dalam program PROTIM sudah menguasai asas 3M. Murid dalam program PROTIM sudah ramai yang tahu membaca. Cuma yang menjadi masalah adalah, murid seringkali melakukan kesilapan semasa menulis.
Sesetengah sekolah melaksanakan PROTIM dalam dua sesi iaitu, pagi sebelum rehat untuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan selepas rehat untuk mata pelajaran Matematik.
Kedua-dua program ini akan ‘melepaskan’ murid mereka setelah didapati cemerlang dalam ujian penilaian yang dijalankan. Semoga, coretan ini dapat memberi maklumat berguna untuk semua
No comments:
Post a Comment