..WELCOME TO MY LOVELY PLACE..

SELAMAT DATANG

Saturday, 8 October 2011

MELAMBATKAN PROSES PENUAAN DENGAN SENAMAN WAJAH


Memperlahankan kedutan di wajah dengan senaman otot muka

Pada wajah kita terdapat beberapa otot yang dinamakan otot ekspresi wajah. Otot-otot ini memainkan peranan dalam memberi ekspresi wajah kita. Apabila kita gembira, otot-otot ini bergerak menzahirkan kegembiraan pada muka kita. Begitu juga apabila kita marah. Otot-otot ini bergerak dan memberikan ekspresi marah pula.
Otot-otot muka kita boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi memudahkan kita memahami fungsinya. Otot di sekitar mata dan kening berfungsi bagi membuka mata, menggerakkan bebola mata dan mengerutkan dahi. Kerana itulah mata kita mampu memberikan ekspresi wajah yang pelbagai. Perbuatan menjeling, melirik dan mengenyit misalnya memberi pelbagai maksud bagi individu yang memandangnya. Oleh itu bahasa mata dikatakan suatu bahasa yang penuh bermakna meskipun tiada kata-kata yang kedengaran. Otot di dahi pula berfungsi bagi menarik kening ke atas. Mereka yang mempunyai otot dahi yang kuat mempunyai kening tinggi dan tampak menarik. Namun terdapat juga mereka yang mudah mengalami kedutan di dahi lantaran pengecutan otot ini. Ini membuatkan mereka tampak lebih tua daripada usia sebenar dan kurang menarik. Kumpulan otot di bawah mata pula berfungsi apabila kita mahu memejamkan mata. Otot ini sekiranya terlalu besar akan membuatkan mata kita tampak kecil. Otot di sekitar hidung berfungsi mengawal bukaan hidung. Jika ia terlalu aktif hidung akan tampak kembang. Jika hidung mahu tampak kecil otot ini harus dikurangkan keaktifannya.
Kumpulan otot pada pipi yang digelar meseter pula penting untuk mengunyah. Otot yang digunakan untuk meniup dan bersiul pula dinamakan buccinators. Tidak ramai yang tahu bahawa dagu juga mempunyai otot bernama mentalis. Dagu yang panjang tentunya mempunyai mentalis yang relaks dan tidak berkerut.
Bagi mereka yang kuat merokok biasanya otot sekeliling mulut akan membesar atau menjadi aktif. Apabila usia meningkat ia kelihatan seolah olah seperti gelang di sekitar mulut.
Ekspresi wajah dikawal sepenuhnya oleh otot-otot ini dan kehilangan kuasanya akan membuatkan ekspresinya hilang. Seseorang yang mengidap parkinson tidak mempunyai sebarang ekspresi wajah kerana kerana kegagalan ototnya bekerja.
Bagi membolehkan otot bekerja dengan baik beberapa perkara penting seperti kandungan kalsium yang cukup, kandungan transmitter seperti dopamine dan keadaan otot serta saraf yang utuh. Justeru gangguan saraf seperti yang berlaku kepada pesakit strok dan bells palsy membuatkan keadaan tidak simetri pada wajah. Keadaan ini adalah disebabkan lumpuhnya beberapa otot yang mengawal pergerakan muka.
Bagi mereka yang menggunakan tangan kanan mungkin mereka turut mengunyah makanan dan menggunakan lebih banyak otot pada sebelah kanan juga. Apabila usia meningkat melebihi 40 kita mula melihat perkembangan yang lebih pada otot-otot kanan membuatkan keadaan tidak simetri pada muka. Pada masa ini perubahan perlu dilakukan dengan menggunakan bahagian kiri lebih banyak agar perkembangan otot akan turut seimbang. Saya juga turut mencadangkan amalan mengurut otot wajah dan melakukan senaman wajah.
SENAMAN WAJAH
Otot yang kuat tidak mudah kendur dan rosak. Senaman yang sesuai adalah dengan melakukan fungsi-fungsi otot kita. 
OTOT MATA
Lakukan kenyitan mata beberapa kali. Letakkan jari jemari di bahagian dahi berhampiran rambut dan lakukan urutan ke atas. Ini akan membantu mengelakkan kedutan.
OTOT PIPI
Seterusnya lakukan perbuatan mengembungkan pipi seolah olah meniup selama beberapa kali. Setelah itu kembungkan pipi kiri dan kanan secara berasingan pula.
Lakukan pergerakan senyum yang lebar dan dan bulatkan mata semasa senyum. Oleh kerana pergerakan senaman ini mudah ia boleh diamalkan di mana sahaja. Bahkan ketika memandu ia juga boleh dilakukan.
Sebaik sahaja dilakukan sudah tentu wajah akan tampak kemas dan lebih bermaya. Ini kerana otot-otot yang bersenam akan lebih kuat dan tegap.

No comments:

Post a Comment